Wednesday, March 28, 2012

~Tiada apa di sisi kita~

Assalamualaikum....buat sekian kalinya saya mengucapkan syukur pada Ilahi atas nikmat yang diberikannya.

Sedar atau tidak, semua yang ada disisi kita adalah milik Allah. Kita hanya meminjam sahaja. Dan DIA berhak untuk mengambil pada bila-bila masa sahaja. Bila telah selalu guna, manusia selalu lupa pada yang memberi. Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz:

" Kisah ini berkaitan seorang anak muda dan ibunya. Setiap ibu pasti sayang akan anaknya cuma cara menunjukkan sahaja yang berbeza. Ada yang pandai meluahkan kasih sayang, dan ada juga yang kurang pandai untuk meluahkan kasih sayang.

Si ibu selalu sahaja memarahi anaknya, dan pemuda ini pula salah faham terhadap ibunya dan menganggap ibunya tidak pernah menyayangi dirinya. Suatu hari, ibunya sekali lagi memarahi pemuda tadi, lantas dengan perasaan marah pemuda tadi meninggalkan rumah. Ibu tadi tidak mampu berkata apa-apa, hanya linangan air mata yang membasahi pipinya.

Pemuda tadi, berjalan dengan membawa beg, dengan perut yang lapar dan dahaga tetapi dia tidak mempunyai wang untuk membeli makanan. Lalu dia duduk di kaki lima dalam keadaan yang sangat letih. Tiba-tiba datang seorang pakcik menghulurkan sepinggan nasi. Pemuda tadi mengambilnya dan makan sehingga kenyang sambil menceritakan kisah hidupnya. Lalu dia berterima kasih. " Pakcik, terima kasih kerana telah memberi saya sepinggan nasi, walaupun kita baru pertama kali berjumpa tapi pakcik sudi memberi sepinggan nasi sehingga saya kenyang.".

" Tidak mengapa nak. Pakcik hanya memberi kamu sepinggan nasi, tetapi ibumu telah memberi lebih banyak dari yang pakcik beri, dari kamu lahir sehingga kamu dewasa kini. Berterima kasihla jua padanya".

Terkejut pemuda tadi lalu menangis. Dia meminta izin untuk pergi dan bergegas pulang mendapatkan ibunya. Dilihat, ibunya masih lagi menangis lalu dipeluk ibunya dan memohon kemaafan."

Berdasarkan kisah ini, menjelaskan bahawa manusia ini memang sering lupa akan kebaikan yang sudah selalu diterimanya...Begitu jugalah hubungan kita dengan Allah...Ayuh muhasabah diri.

Sedar atau tidak, Allah sentiasa memerhatikan hambaNya dan memberi didikan yang terbaik.
 Allahu Akbar, syukur...syukur...walaupun dalam hal yang teramat kecil, namun ia tetap  tarbiyyah Allah untuk melihat hambaNya menjadi lebih baik.

Cuti semesta lalu, ditakdirkan aku sakit selama sebulan, nafsu makan hilang begitu sahaja. Badan jadi lemah tidak bermaya...


Kun Fayakun, bila Allah kata jadi maka jadilah. Tidak ada siapa yang boleh menghalang. Bagi saya Allah ambil sekejap nikmat rasa lapar yang kadang-kadang kita lupa untuk menyatakan rasa syukur : aku lapar, Oleh itu, bila Allah ambil, tujuannya agar hambaNya ini banyakkan dekat padaNya. Nikmat ini mungkin kecil bagi kita yang ada nafsu lapar, tetapi bila ia ditarik balik dan kita tidak ada rasa lapar, barulah kita rasa besarnya apabila hilang hanya sebahagian nikmat dari Allah. Hidup rasa tidak bersemangat dan tidak cergas melakukan kerja seharian.. Oleh itu, pujilah Allah atas semua nikmat walaupun sebesar biji zarah bagi kita.

Baru-baru ini baru sahaja pulang dari Singapore, ditakdirkan aku hilang pendengaran sebelah telingaku selama beberapa hari. Ketika inilah muncul pelbagai perasaan, beginilah agaknya orang yang pekak. Kun Fayakun...baru semalam aku dapat mendengar, pulang sahaja dari Singapore keadaan berubah. Memang sukar apabila mendengar dengan sebelah telinga sahaja. Allah, ini adalah milikmu dan akan kembali juga kepadamu...Hanya doa yang aku dapat lakukan, dan Alhamdulillah ketika bangun dari sujud, telingaku pulih semula. Tiada kata yang mampu menterjemahkan rasa syukur di hati ini. 


Beginilah tarbiyyah Allah. Setiap ujian baik atau tidak pada fikiran kita sebenarnya itu adalah yang terbaik. Yakinlah...ujian mendidik jiwa menjadi lebih matang dalam kehidupan...

No comments:

Post a Comment