Kembara Dakwah di Sarawak

Permulaan Kisah

Kerana cinta dalam bidang perguruan, saya cuba apply sebagai guru JQAF ketika saya baru sahaja tamat pengajian di UKM tercinta, kemudian berkhidmat sementara sebagai guru KAFA di SRI Raudhatul Ilmi, Kajang. Satu pengalaman yang amat manis berada di situ.

Dalam bulan Disember, jawapan sebagai guru JQAF, telah keluar dan keputusannya, alhamdulillah saya diterima sebagai guru JQAF, tetapi perasaan sedih menyelubungi hati kerana ditempatkan di Sarawak. Tidak mengharap dapat di negeri ini cuma dapat merasakan akan ditempatkan di negeri yang jauh.

Akhirnya, sebulat suara daripada ayah dan ibu serta saudara-mara, mengizinkan saya terbang berkhidmat di Sarawak. Bermulalah perjalananku dan pengembaraanku ke Sarawak.

Minggu pertama, kami ditempatkan di asrama dahulu kerana ada interaksi. Perasaan ketika itu, memang agak teruja walaupun belum biasa dengan tempat baru namun, dengan adanya sahabat-sahabat dan doa dari orang-orang terdekat, seolah-olah mendapat satu kekuatan untuk terus berjuang di situ.

Sebelum tamatnya hari interaksi, kami diberikan nama sekolah masing-masing. Allahu akbar, Allah letakkan saya di sekolah Cina.

Dalam keadaan yang agak bimbang juga kerana tidak biasa bekerja dengan orang Cina, walaupun di UKM dahulu pernah bekerjasama dengan orang Cina, tetapi keadaan berbeza dimana kali ini saya ditempat di satu tempat yang mungkin menjadi tempat tetap untuk saya menjalani kehidupan pada hari akan datang. Dengan keserabutan tidak mendapat rumah sewa lagi, kemudian sahabat-sahabat juga dihantar ditempat-tempat lain. Memang semua ini memerlukan kekuatan. Lebih-lebih lagi saya adalah perintis JQAF di sekolah tersebut.

Banyak perkara yang perlu dilakukan sebagai perintis dan semuanya memerlukan usaha keras agar program JQAF dapat dilakukan dengan baik.

Hari pertama datang ke sekolah, Subhanaallah sekolah yang amat besar, ketika itu tidak ada yang saya rasai selain ingin menjalankan amanah sebagai guru. Masuk sahaja dibilik guru, ramainya guru. Rupa-rupanya guru di sekolah ini adalah seramai 68orang dan hanya 3orang sahaja yang Muslim termasuk saya. Bayangkan, dalam keadaan terkejut mendapat sekolah Cina, tempat menginap juga masih tidak ada, guru Muslim juga hanya 3 orang dan hanya saya sahaja perempuan, dan dengan keadaan terpinga-pinga lagi dengan program JQAF, saya dipertanggungjawabkan untuk memulakan JQAF di sekolah tersebut.

Selain itu, kawasan persekitaran juga majoritinya adalah masyarakat Cina, Allahu akbar, terasa beban yang dipikul untuk agama terlalu besar. Hari kedua, hati rasa tidak boleh bertahan dengan persekitaran yang begini, mana tidaknya, dahulu Allah mentarbiyyah diri ini dengan diberikan sahabat2x yang soleh dan solehah, biah yang solehah, tetapi kali ini Allah mentarbiyyah diri ini dengan meletakkan di satu suasana yang sangat kontra berbanding dahulu.

Ketika dihari kedua, saya memang nekad ingin berhenti dan pulang semula ke semenanjung. Saya telefon maktab dan mereka beri nasihat agar saya bertahan dan fikir dengan sebaiknya sebelum membuat keputusan.

Membuat keputusan seorang bukanlah jalan yang terbaik bagi saya. Setelah berbincang dengan keluarga, mereka mengizinkan saya berhenti tetapi atas nasihat Ustaz saya di UKM dahulu, katanya, " Beratnya ujian enti, jika memang tidak boleh bertahan keluarlah, rezeki ada di mana2x. Tetapi fikir dahulu dengan sebaiknya dan isikharahlah. Banyak zikir, moga Allah berikan jalan ".

Setelah lama berfikir, akhirnya Allah tetapkan niat untuk berada di Sarawak.

_La Tahzan, InnaAllaha Maana_ Bersyukur dengan ujian. 22/5/2013


No comments:

Post a Comment