Friday, April 15, 2011

Umar bin Abdul Aziz

Kedudukan beliau:
Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin.
Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang berasingan."

Kehidupan beliau menuntut ilmu:
Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.
Pelantikan beliau sebagai Khalifah:
Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang. Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan. Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun dari mimbar.


Peristiwa yang berlaku di antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan:
Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?!" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan seorang anak dari tulang salbi aku yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai dengan berkata: "Sesiapa yang barang-barang mereka pernah diambil secara zalim, sila laporkan." Kemudian Umar mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya"

Keadilan beliau:
Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! Perkara tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung oleh orang yang mencerobohnya." Walau bagaimanapun Umar tidak puas hati dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang lain termasuk anak beliau sendiri Abdul Malik yang berkata kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya.

Kematian beliau:
Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Reference: www.halaqah.net





Jom kenali tokoh ini,,,Satu nama yang tidak asing lagi

BADIUZZAMAN SAID NURSI


Siapa Dia????

Badiuzzaman Said Nursi merupakan seorang ulama, pejuang dan sufi besar abad ke 20. Selepas Rasulullah s.a.w menyebarkan agama Islam, diikuti penyambung rantai perjuangan nabi iaitu para salafus soleh, ketika itu Islam berada pada zaman kegemilangannya. Setelah 600 tahun bertapak sebagai sebuah kerajaan Islam yang agung, ia mula mengalami zaman kelemahan pada kerajaan Uthmaniah. Dan seperti yang tercatat dalam sejarah  bahawa pada tahun 1924, terukir satu sejarah hitam dalam kerajaan Uthmaniah apabila Kamal Atartuk menguasai Turki. Sistem khalifah yang menjadi mercu tanda kekukuhan negara Islam, mansuh akibat pengaruh barat yang dibawa oleh Kamal Atartuk. Ketika itulah munculnya, seorang ulama dan pejuang kebenaran yang terulung dalam sejarah Turki iaitu Badiuzzaman Said Nursi. Demi menegakkan semula Islam, beliau sanggup berkorban seluruh kehidupannya.
Badiuzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1876 M/ 1294H di Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan, Turki. Nama sebenar beliau adalah Said bin Mirza. Said bermaksud bahagia. Namun beliau lebih dikenali dengan nama Said Nursi kerana merujuk kepada tempat kelahirannya. Manakala penggunaan nama Badiuzzaman adalah gelarannya sahaja yang bermaksud keaguangan zaman yang mana memberi makna kerana ketokohan beliau yang begitu menyerlah mendaulatkan Islam. Seluruh kehidupanya, dijuangkan dan dikorbankan semata-mata kerana Allah dan agama Islam agar Islam sentiasa berada di atas. Pejuang yang hebat ini tentu di lahirkan dan di pelihara oleh kedua ibu bapa yang hebat juga. Ayahnya bernama Mirza yang juga dikenali sebagai Sufi Mirza, mungkin mengacu pada keterikatannya dengan sebuah ordo sufi atau kesolehannya. Manakala Ibunya bernama Nure. Ibu dan bapanya berketurunan Kurdis dan mereka dikatakan berasal daripada silsilah keturunan Ahl-Bayt. Mereka sangat menitik beratkan soal agama. Ibu bapanya sentiasa bersama dengan Nursi dan mendoakannya sehingga menjadi seorang tokoh ulama yang terkenal.

Bagaimana Dia Bermula????

            Sejak kecil lagi Nursi telah menunjukkan minatnya dalam bidang keilmuan ini. Beliau sangat tertarik untuk menghadiri majlis ilmu di antara para ulama yang biasa dilakukan di rumah ayahnya. Suasana biah soleh yang dirasainya ini memberi kesan yang mendalam dalam jiwa dan pemikiran Nursi. Minatnya itu telah membangkitkan suatu pemikiran analisis-kritis, dialog dan perdebatan. Disebabkan minatnya yang mendalam dengan ilmu, beliau telah mula merantau pada umur 9 tahun. Beliau telah berguru dengan ramai ulama termasuk Syeikh Muhammad Al-Jalali di Madrasah Bayazid bersempadan Iran. Di bawah bimbingan Syeikh Al-Jalali ini Nursi telah mempelajari dan menguasai kitab-kitab muktabar seperti Jami’ Al-Jawami dan Syarh Al- Mawaqif. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru ,kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke suatu majlis perbahasan. Kemudia beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badiuzzaman.
            Gabenor Bitlis, Umar Basha adalah seorang yang sangat mencintai ilmu dan memuliakan ulama. Oleh itu, beliau telah menjemput Nursi agar tinggal di kediamannya yang mempunyai sebuah perpustakaan yang besar. Umar Basha memberi peluang kepada Nursi untuk mendalami dan menghafaz kitab-kitab seperti Al-Matali, Al-Mawaaif dan Al-Mirqat. Dalam masa 2 tahun Nursi telah menguasai ilmu kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith, dan fiqah dengan mantap. Kemudian beliau mengembara lagi dan menyambut pelawaan Gabenor Hasan Basha untuk berkhidmat sebagai ulama. Seterusnya, beliau dijemput lagi di kediaman Tahir Basha. Beliau sempat bertemu dan berdialog dengan tokoh-tokoh ilmuan moden. Perkara ini telah menyuntik semangat beliau untuk mendalami ilmu-ilmu sains moden seperti fizik, kimia, biologi, ilmu kaji bumi dan astronomi. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu sejarah, matematik, geografi dan falsafah moden.
            Pengalamam beliau dalam mempelajari pelbagai bidang ilmu memberikan kesedaran bahawa sistem pendidikan memerlukan satu perubahan. Beliau cuba untuk membawa perubahan tersebut dalam sistem pendidikan, semasa beliau bertugas sebagai seorang guru di madrasahnya yang dikenali sebagai Madrasah Khur-Khur. Dengan itu beliau telah menggabungkan dua cabang ilmu iaitu ilmu agama dan ilmu sains moden. Selain itu, semangat jihad di hati Nursi juga amat tinggi kerana suasana persekitaran dan ditambah dengan sistem pentadbiran negara pada zamannya yang tidak berasaskan Islam ( Sebelum pemerintahan Sultan Abdul Hamid Turki sering menjadi sasaran penjajah khususnya Ingggeris) , menjadikan rakyat tidak menikmati rahmat Allah dan sentiasa terdedah kepada ancaman hukuman daripadaNya. Melihat keadaan ini, Nursi bertindak sesuatu bagi mengembalikan keagungan dan kemuliaan Islam yang semakin jauh daripada kehidupan Muslim di tanah airnya sendiri.

Antara Sumbangan Nursi

Pada 1896 ketika Nursi berusia 20 tahun , beliau ke Istanbul bertujuan untuk menubuhkan sebuah sekolah Islam moden yang diberi nama Madrasah az-Zahraa dengan segala sukatan  pelajarannya diambil daripada al-Azhar di Mesir dan merupakan satu-satunya cawangan al-Azhar di Turki. Para pelajar yang majoriti belajar di situ adalah terdiri daripada suku kaum Kurdis yang bukan sahaja belajar ilmu-ilmu syariah, usuludin dan bahas arab, akan tetapi mereka juga diwajibkan belajar ilmu-ilmu akademik moden. Pada 1907, beliau berkesempatan bertemu dengan Sultan Abdul Hamid yang berjiwa Islam bagi membincangkan perkara yang berkaitan dengan pencerobohan Inggeris yang menampakkan kecenderungan untuk menjelajah Turki. Di sana beliau telah ditahan di hospital sakit jiwa kerana menggunakan bahasa yang agak kasar semasa bercakap dengan Sultan Hamid. Namun setelah diperiksa oleh doktor beliau dibebaskan semula.
            Selain itu, beliau juga sering kali difitnah mengenai perkara yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlaku pemberontakan pada 31 Mac 1909, Nursi telah ditangkap dan dibicarakan di mahkhamah tentera atas tuduhan menimbulkan kekacauan, walaupun sebenarnya beliau cuba mententeramkan keadaan. Dengan kepetahan bicaranya beliau berjaya mempertahankan diri dan telah dibebaskan, ketika itu mayat orang - orang yang dihukum masih lagi di tali gantung. Selepas itu, beliau kembali semula ke Timur Anatolia dan kawasan-kawasan yang terpencil untuk memberitahu kepada penduduk di situ bahawa gerakan pembebasan yang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan agama Islam. Nursi juga menerangkan kepada mereka mengenai sistem pentadbiran dan pemerintahan yang bercorak kuku besi ( diktator) adalah ditolak dalam Islam. Kemudian Nursi mengumpulkan kesemua syarahannya dan dikumpulkan dalam satu buku yang diberi nama Perbahasan.
            Pada musim sejuk tahun 1911, Badiuzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Khutbah yang disampaikan itu dikenali sebagai Al-Khutbah Al-Syamiyyah. Para pendengarnya termasuklah 100 ulama yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau berkata bahawa tamadun sebenar yang berada pada Islam akan berdiri tegak di dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Badiuzzaman merupakan wakil bagi timur Turki yang mengiringi Sultan Muhammad Resyad melawat Rumelia (daerah Balkan). Ketika di Kosovo Metohija, di mana Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata, "Kawasan Timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan pusat Dunia Islam." Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti tersebut tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.
            Dalam Perang Dunia Pertama, Badiuzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur bersama 3,000 orang anak muridnya. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Uthmaniah, termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi Bulu”. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Russia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang bertajuk “Isyaaratul I'jaz” di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan. Ia diberi nama Tafsir Rasail an-Nur, kemudianya mendapat penghargaan daripada para ulama terkenal.
Dalam pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia ini, Badiuzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Kostromaa, iaitu di barat laut Russia dan ditahan di situ selama 2 tahun. Akhirnya, Nursi telah berjaya melepaskan diri dari tawanan tersebut dan melarikan diri ke Siberia. Kemudian beliau ke Eropah dan seterusnya pulang ke Istanbul melalui Warsaw, Berlin, dan Vienna. Di Istanbul, Nursi telah menerima anugerah kehormat di atas jasanya memimpin ramai orang supaya bangkit menentang penjajahan. Anugerah ini dikurniakan oleh Enver Pasa iaitu Timbalan Menteri Pertahanan Istanbul. Selain itu, Nursi juga dilantik sebagai anggota Daru’l-Hikmeti’l-Islamiye. Ia merupakan sebuah akademi yang menghimpunkan sarjana Islam di Istanbul ketika itu.
 Apabila Turki diisytiharkan sebagai sebuah Negara Republik pada 29 Oktober 1923, ia bertukar wajah menjadi sebuah negara sekular. Mustafa Kamal Atartuk melaksanakan dasar-dasar pemerintahan berlandaskan fahaman sekularisme yang anti-Islam. Nursi telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada penjajah British. Perkara ini hampir membuatkan nyawanya melayang. Dan diantara kata-kata yang ditunjukkan kepada pihak British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah, “ wahai anjing yang dianjingkan ke peringkat anjing yang tertinggi ” dan “ Ludahlah muka British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu ”. Selain itu, untuk menentang dasar ini, Nursi kemudiannya menyokong pembentukan Parti Demokratik Turki. Harapannya agar mereka dapat melaksanakan pemerintahan yang adil dan  kebebasan diberikan kepada gerakan Islam.
Menurut pandangan Nursi, kebebasan dilihat satu keperluan asas dan hendaklah dihormati dalam setiap agama dan bangsa. Namun maksud kebebasan tidak harus disalah tafsirkan sehingga ia menyimpang dengan syariat Islam. Oleh itu, ketika pengisytiharan perlembagaan negara, Nursi telah berjuang untuk menegakkan corak pemerintahan perlembagaan yang berteraskan syariat Islam. Walaupun beliau mendapat pelbagai tentangan dari golongan yang kurang pengetahuan mengenai agama Islam. Tetapi beliau tetap meneruskan hasratnya ini kerana bagi Nursi, untuk memberi kefahaman kepada golongan ini memerlukan masa yang panjang, dan yang paling penting isi kandungan al-Quran dapat difahami. 
Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara iaitu selepas berlakunya Perang Kemerdekaan dan Turkish Grand National Asembly berjaya dibentuk. Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat. Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di Ankara tidaklah serupa dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya ialah, pada mulanya 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin bertambah. Selepas itu, Nursi meneruskan kegiatan dakwahnya, mendidik masyarakat dan sentiasa berulang alik di antara penjara dan pembuangan, hasil tekanan yang dibuat oleh rejim Atartuk. Nursi telah menghabiskan masanya selama 8 bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki.
Para pemberontak meminta sokongan Badiuzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata, “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Ia akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah”. Sekali lagi Badiuzzaman difitnah dan mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekelilingnya dan mengumpulkan segala hasil penulisannya dalam bentuk buku. Kegiatannya ini telah dapat dikesan lalu dilapurkan ke Ankara dan satu rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudiannya menghantarnya ke Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badiuzzaman akan  mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan keseorangan.

Walaupun Barla merupakan tempat yang terpencil namun beliau tetap tidak berputus asa dan tetap bersemangat untuk membangkitkan semula iman dan Islam. Sebagaimana kata-katanya “ Saya akan buktikan kepada dunia bahawa al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam” . Beliau tidak mati keseorangan tetapi muncul sebagai “ Said Jadid” yang umpama matahari, menyinari dunia sains dan budaya. Sejak itulah, beliau telah menyinari berjuta – juta manusia dengan cahaya iman.Karya pertama yang ditulis Nursi setelah tiba di Barla ialah “ Kata Sepuluh” mengenai hari kebangkitan dan hari kiamat. Perkara ini semakin menakutkan pihak musuh, oleh itu mereka telah membuat pengawasan ketat dan penindasan. Nursi menghadapi semua ini di Barla selama 8 tahun setengah . Dalam tempoh ini beliau sempat menulis 3 suku daripada Risalah Nur . Sebanyak 600,000 naskhah ditulis dengan tangan kerana tidak ada peralatan.
Pada tahun 1935, Badiuzzaman bersama 125 pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkhamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan, mereka di penjarakan.Mereka tidak boleh keluar walaupun untuk ke tandas sehingga mereka terpaksa menggali lubang dekat pintu dan menutup dengan pipa untuk membuang hajat. Bercampur dengan kotoran, kutu busuk ini semua membuatkan mereka tidak boleh tidur malam. Selama 12 hari mereka tidak diberi makan. Keadaan ini seperti mereka menunggu tiang gantung. Namun Nursi tidak berhenti untuk menulis. Mereka menghabiskan masa selama 11 bulan di dalam penjara tersebut. Kemudian, mereka dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Ketika itu usianya 59 tahun. Di sana beliau masih lagi menulis dan menyebarkan Risalah Nur. Disebabkan mereka tidak diberi kebebasan, mereka telah mewujudkan rangkaian pengirim Risalah Nur yang dinamakan Posmen Nur ( Nurju). Hasilnya, Nurju ini telah berjaya menyebarkan sebanyak 600,000 naskhah Risalah Nur ke seluruh Anatolia.
Pada tahun 1943, Nursi bersama 126 pelajarnya di tahan dan dipenjarakan di Denizli. Di sana, Nursi tetap menghasilkan karya-karya baru yang ditulis atas cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari kampit-kampit kertas. Karyanya kemudian di seludup keluar di dalam kotak-kotak mancis. Contoh karyanya adalah ‘ Buah-buah Iman’. Perbicaraan di Denizli ini telah berakhir dengan keputusan bahawa Nursi di bebaskan sebulat suara namun bukan kebebasan sepenuhnya kerana pihak berkuasa di Ankara mengarahkan supaya Nursi dihantar ke Emirdig, sebuah Bandar di daerah Afyon. Nursi di penjara di sana selama 20 bulan. Kekejaman di penjara ini lebih teruk berbanding yang lain. Beliau diletakkan di penjara yang tingkapnya telah pecah, ketika usianya adalah 75 tahun. Cuaca di sana sangat sejuk namun, tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah meracuninya ( ada yang mengatakan sebanyak 19 kali ) . Pada tahun 1956, mahkhamah mengisytiharkan mereka tidak bersalah selepas mereka menghabiskan 2 tahun dalam penjara yang teruk. [17]

 Rasail Al-Nur- Hasil Said Nursi


Ini adalah sebuah kitab hasil dari pemikiran Nursi sendiri. Ia merupakan karya yang teragung dan khazanah yang sangat berharga. Karya ini seharusnya dimanfaatkan oleh semua umat Islam. Rasail Al-Nur ini merupakan sebuah kitab tafsir al-Quran. Secara umumnya kitab ini menbincangkan mengenai persoalan keimanan. Bagi menghasilkan kitab ini, Nursi hanya menggunakan satu sahaja sumber rujukan iaitu kitab suci al-Quran. Di dalamnya Nursi telah merangkumkan ilmu mustalah hadith, falsafah, ilmu kalam dan ilmu tasawuf.
            Semua ilmu ini di kupas dengan baik dan padat oleh Nursi dan ia menepati setiap cabang ilmu yang disebut di atas. Kitab Rasail Al-Nur mendapat sambutan yang cukup baik di kalangan umat Islam di Turki serta negara –negara Islam yang lain kerana kitab ini mempunyai isi kandungan yang sangat istimewa dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, selepas diteliti, kitab ini diterjemahkan dalam bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab, Inggeris, Jerman, Itali, Perancis, Rusia, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India, Malaysia dan beberapa bahasa lain di Asia Tenggara. 

Wafatnya Seorang Pejuang

Pada 25 Ramadhan 1379H / 23 Mac 1960 hari Rabu, ulama yang agung iaitu Badiuzzaman menghembuskan nafas yang terakhir. Ketika tiba waktu solat Subuh, beliau tidak bangun untuk solat. Salah seorang muridnya yang lain segera membukakan tutup muka beliau sehingga jelas kelihatan wajahnya yang kaku. Berita duka ini tersebar di Urfah dan tidak lama kemudian di bandar-bandar Turki yang lain. Masyarakat dari luar Urfah turut hadir sehingga kota itu kelihatan seperti lautan manusia, yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada pejuang bangsa dan agama Islam.
            Semoga Allah akan mengurniakan sebaik-baik ganjaran untuk Badiuzzaman Said Nursi yang kehidupan dan matinya bujang kerana berkahwin dengan perjuangan yang gigih dan berpanjangan.




No comments:

Post a Comment