Wednesday, November 28, 2012

SAYA DAN J-QAF





Alhamdulillah hari ini saya dapat menulis lagi. Semalam iaitu 27 Nov 2012  baru sahaja selesai temu duga J-Qaf untuk ambilan tahun 2013.  Kini hanya tawakal sahaja pada Allah, jika ia terbaik untukku, agamaku, masa kini dan masa kan datang, moga dipermudahkan dan jika ia bukan yang terbaik untukku , agamaku, masa kini dan masa akan datang, moga dijauhkan dan diganti dengan yang lebih baik.
Sehari sebelum menghadiri temu duga, saya sempat berjumpa pensyarah saya di Fakulti Pengajian Islam kerana menemani sahabat saya. Sejuk melihat raut mukanya dan beliau tidak terlepas memberi satu hadiah yang sangat berharga iaitu sepotong hadith. InsyaAllah saya akan kongsikan hadith ini pada tulisan yang akan datang. Beliau juga sempat berpesan dan beri semangat untuk menghadiri temu duga katanya, jika ada suatu perkara besar yang berlaku dalam hidup kita dan kita rasa sukar untuk menempuhnya, segeralah bersedekah, gembirakanlah hati orang lain, insya-Allah akan dimudahkan. Saya hanya tersenyum =). Nasihat yang cukup-cukup bermakna.
Semasa proses temu duga, ada satu soalan yang ditanya dan membuatkan saya terfikir sehingga ke hari ini dan harap soalan ini menjadi motivasi sehingga ke akhir hayat saya. Penemu duga tersebut bertanya tentang hobi dan minta saya jelaskan hobi saya dalam bahasa Inggeris. Ketika itu saya menjawab saya minat membaca dan salah satu buku yang saya baca adalah berkaitan Abu Bakar Al-Siddiq. Saya pun menjelaskan sinopsis buku tersebut dalam Bahasa Inggeris tetapi tidaklah selancar orang yang pakar bahasa ini.
Sampai sahaja di rumah, setelah selesai solat maghrib, saya terfikir kembali akan jawapan saya tentang soalan hobi tadi. Bila difikirkan kembali mengapa kebanyakkan masyarakat pada hari ini, apabila ditanya soalan tentang hobi, mereka akan memberi jawapan seperti membaca novel, layari internet, menonton televisyen, memasak, mengemas, baca buku agama dan sebagainya, namun jarang yang menjawab membaca al-Quran. Ketika itu, teringat kembali zaman nabi di mana para sahabat  mampu khatam al-Quran berkali-kali dalam masa sehari, sedangkan dari dulu hingga sekarang, Allah tidak pernah memendekkan atau memanjangkan waktu yang ada untuk sehari. Semua orang mempunyai 24jam. Perkara ini membuatkan saya terfikir, di mana al-Quran dalam hati kita???
Oleh itu, sama – sama lah kita selidik dan tanya iman kita, mengapa al-Quran yang cukup hebat, penuh cerita dan pengajaran amat jarang sekali kita membacanya dan memahami maknanya….mengapa? dan mengapa?
Baiklah setakat itu sahaja post kali ini, fikir-fikirkanlah dan sama-sama kita perbaharui hati dan iman untuk melangkah bersama di syurga nanti.

-28 November 2012 -

No comments:

Post a Comment