Wednesday, November 28, 2012

SAYA DAN J-QAF





Alhamdulillah hari ini saya dapat menulis lagi. Semalam iaitu 27 Nov 2012  baru sahaja selesai temu duga J-Qaf untuk ambilan tahun 2013.  Kini hanya tawakal sahaja pada Allah, jika ia terbaik untukku, agamaku, masa kini dan masa kan datang, moga dipermudahkan dan jika ia bukan yang terbaik untukku , agamaku, masa kini dan masa akan datang, moga dijauhkan dan diganti dengan yang lebih baik.
Sehari sebelum menghadiri temu duga, saya sempat berjumpa pensyarah saya di Fakulti Pengajian Islam kerana menemani sahabat saya. Sejuk melihat raut mukanya dan beliau tidak terlepas memberi satu hadiah yang sangat berharga iaitu sepotong hadith. InsyaAllah saya akan kongsikan hadith ini pada tulisan yang akan datang. Beliau juga sempat berpesan dan beri semangat untuk menghadiri temu duga katanya, jika ada suatu perkara besar yang berlaku dalam hidup kita dan kita rasa sukar untuk menempuhnya, segeralah bersedekah, gembirakanlah hati orang lain, insya-Allah akan dimudahkan. Saya hanya tersenyum =). Nasihat yang cukup-cukup bermakna.
Semasa proses temu duga, ada satu soalan yang ditanya dan membuatkan saya terfikir sehingga ke hari ini dan harap soalan ini menjadi motivasi sehingga ke akhir hayat saya. Penemu duga tersebut bertanya tentang hobi dan minta saya jelaskan hobi saya dalam bahasa Inggeris. Ketika itu saya menjawab saya minat membaca dan salah satu buku yang saya baca adalah berkaitan Abu Bakar Al-Siddiq. Saya pun menjelaskan sinopsis buku tersebut dalam Bahasa Inggeris tetapi tidaklah selancar orang yang pakar bahasa ini.
Sampai sahaja di rumah, setelah selesai solat maghrib, saya terfikir kembali akan jawapan saya tentang soalan hobi tadi. Bila difikirkan kembali mengapa kebanyakkan masyarakat pada hari ini, apabila ditanya soalan tentang hobi, mereka akan memberi jawapan seperti membaca novel, layari internet, menonton televisyen, memasak, mengemas, baca buku agama dan sebagainya, namun jarang yang menjawab membaca al-Quran. Ketika itu, teringat kembali zaman nabi di mana para sahabat  mampu khatam al-Quran berkali-kali dalam masa sehari, sedangkan dari dulu hingga sekarang, Allah tidak pernah memendekkan atau memanjangkan waktu yang ada untuk sehari. Semua orang mempunyai 24jam. Perkara ini membuatkan saya terfikir, di mana al-Quran dalam hati kita???
Oleh itu, sama – sama lah kita selidik dan tanya iman kita, mengapa al-Quran yang cukup hebat, penuh cerita dan pengajaran amat jarang sekali kita membacanya dan memahami maknanya….mengapa? dan mengapa?
Baiklah setakat itu sahaja post kali ini, fikir-fikirkanlah dan sama-sama kita perbaharui hati dan iman untuk melangkah bersama di syurga nanti.

-28 November 2012 -

KEMATIAN TARBIYYAH PALING BERKESAN.


Assalamualaikum semua  para pengunjung blog saya….terlalu lama saya tidak mengupdate blog ini. Rindu juga hendak menulis ni…..


Mahu atau tidak, manusia tidak dapat lari dari hakikat sebenar kehidupan di dunia ini iaitu setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Bilakah waktu kita akan menemuinya, tidak ada seorang pun yang boleh menjawab melainkan Allah SWT. Jadi, adakah diri ini telah bersedia atau masih lagi belum bersedia….hanya diri sendiri yang mengetahui. Sedar atau tidak , ramai yang lupa mengenai perkara ini, dan disebabkan hal ini juga, ramai yang lalai dan leka dengan tipu daya dunia. Ramai yang sibuk mengejar cita-cita, pangkat, harta, kemewahan, kecantikan, dan lain-lain lagi daripada menyibukkan diri dengan mempersiapkan diri bertemu yang Esa.
Sedangkan hidup hanya sekali. Biarlah peluang yang sekali ini, kita gunakan dan manfaatkan sebaiknya. Allah tidak melihat paras rupa, harta kekayaan dan pangkat seseorang tetapi Allah melihat nilai TAQWA dalam hati seseorang. Begitulah hebat dan adilnya nilaian Allah pada hambaNya. Memang jika diikutkan nafsu , dunia ini indah, rugi jika kita tidak merasai nikmat keindahannya tetapi cuba kita renung kembali apakah nilai keindahan yang hakiki? Adakah dengan merasai segala keseronokan tanpa batasan atau merasai nikmat ‘perhiasan dunia’ (wanita) sesuka hati tanpa batasan, atau merasai segunung harta tanpa batasan…..adakah itu semua nikmat keindahan dunia yang hakiki? Adakah juga nikmat ini semua memberi kebahagiaan sehingga kita perlu untuk merasainya dan rugi jika meninggalkannya???? , soalan ini saya tinggalkan untuk kita renung2xkan…..
Apabila sebut sahaja soal mati….semua orang akan berasa takut dan cemas, ialah tidak tahu sama ada tempat seterusnya di syurga atau di neraka, tidak tahu juga adakah amalan-amalan di dunia ini sudah cukup sebagai bekalan atau tidak…. Lihatlah betapa soal kematian amat menggerunkan hati manusia, secara automatik hati akan kembali mengingati amalan sepanjang hidup di dunia dan secara tidak langsung mengingati Allah sebagai Tuhan yang Maha Berkuasa. Beginilah kematian mentarbiyyah hati manusia iaitu mendidik agar hati sentiasa mengingati Allah dan mendidik diri agar melaksanakan amalan yang membawa keredhaan Allah. Oleh itu, ajaklah hati – hati kita semua agar sentiasa mengingati kematian.
Sesungguhnya, kematian adalah kebahagiaan hakiki kerana ia adalah wasilah untuk kita bertemu Tuhan yang Maha Penyayang, yang telah menjaga kita semua dengan baiknya di dunia ini, yang mengatur hidup kita, yang memberi segala yang kita inginkan, dan yang paling penting yang telah mengampunkan segala dosa kita di saat kita memintanya walau sejuta, segunung dosa kita lakukan semasa hidup.

Rasullullah SAW bersabda bahawa orang yang bijak adalah orang yang banyak ingat akan mati. Hidup ini terlalu singkat dan tidak ada yang lebih penting selain melaksanakan suruhan Allah , tidak ada yang lebih istimewa selain rahmat dan redha Allah dalam hidup kita dan juga tidak ada kebahagiaan yang paling manis selain bertemu Allah dalam keadaan redha Allah bersamanya. La Ilaha Ilallah, Hanya Engkau Ya Allah Tuhanku, Tiada yang lain selain Engkau, Peliharalah hati kami ini agar sentiasa ingat kepadaMu, jagalah hati kami ini agar cintaMu sentiasa menjadi yang paling tinggi dan paling istimewa.
  -26 November 2012 -