Tuesday, November 9, 2010

You Know What Is Tarekat?????

Tarekat merupakan bahagian yang sangat penting dalam tasawuf.  Mempelajari tawasuf tanpa tarekat adalah suatu usaha yang hampa. Dalan ajaran tasawuf diterangkan, bahawa syariat itu hanya peraturan, tarekatlah yang merupakan perbuatan untuk melaksanakannya, apabila syariat dan tarekat dah dikuasai maka lahirlah hakikat.
            Pada masa kini, dapat dilihat sangat banyak golongan terpelajar yang mencemuh tarekat. Bagi mereka ia merupakan suatu perkara yang sia-sia untuk dilakukan. Adakah mereka telah mengenal makna tarekat yang sebenar ataupun mereka telah terpedaya dengan tarekat yang salah dan menyeleweng dari syariat Islam.
 Tarekat telah lama wujud dan berkembang semenjak dari zaman Rasulullah, Sahabat-sahabat, tabiin dan seterusnya kepada orang mukmin yang soleh. Mereka mendapat didikan dan tunjuk ajar sendiri dari Rasulullah dan mencurahkannya pula kepada orang-orang Islam sezaman dengannya.
            Oleh itu, tarekat terus subur sehinnga ke hari ini dengan izin Allah dan juga dapat menunjukkan bagaimana kesucian Islam dalam menuju kehidupan yang sempurna disamping memperolehi keredaan Allah S.W.T.

 DEFINISI TAREKAT
Tarekat adalah satu istilah dalam tasawuf yang lahir selepas zaman permulaan Islam. Walaupun istilah ini tidak lahir secara langsung merupakan istilah al-Quran namun lahirnya atau penciptaanya bukanlah satu jenayah selama mana ia tidak mengandungi maksud atau makna yang bercanggah dengan agama Islam, lebih-lebih lagi jika istilah tersebut diilhamkan dari al-Quran.
Tarekat dalam pengertian asasnya sebagai perjalanan kepada Allah, yang sudah pasti melalui jalan haq atau hidayah yang haq adalah satu fanomena atau cara hidup yang lumrah dan umum dikalangan para Sahabat dan Tabiin.

Tarekat di ambil dari bahasa arab, iaitu dari kata    طريقة  , طرق  bererti jalan, metode atau cara. Dalam Ilmu Tasawuf tarekat juga bererti jalan, petunjuk dalam melakukan sesuatu ibadah bersesuaian dengan ajaran yang ditentukan oleh Nabi Muhammad S.A.W  dan dicontohi oleh sahabat, tabi’in, tabi’in-tabi’in dan seterusnya diikuti oleh masyarakat islam pada masa kini.

Dari aspek etimologinya, tarekat merujuk kepada jalan, sama dengan pengertian  kepada perkataan shari’at,  sabil, sirat dan manhaj, dimana dalam hal ini dimaksudkan ialah jalan menuju  kepada Allah untuk mendapatkan keredaan Nya dengan cara mentaati segala ajarannya.
Dari segi istilah tarekat merujuk pada sirah atau jalan kerohanian  khusus yang yang dilalui oleh orang-orang yang berjalan (al-salikun) menuju kepada Allah dimana dalam perjalanan tersebut mereka perlu merentasi pelbagai rintangan dan mengalami pelbagai peningkatan kerohanian dalam pelbagai maqam.

Orang Islam yang tidak mengerti Ilmu Tasawuf , seringkali bertanya mengapa perlu ada ilmu tarekat, apakah tidak cukup dengan Ilmu Fiqh sahaja.Orang yang bertanya itu sebenarnya telah melakukan Ilmu Tarekat kerana gurunya telah mengajarkanya cara untuk bersolat seperti cara berniat, mengangkat tangan, bersujud dan sebagainya. Semua bimbingan guru itu dinamakan tarekat.
Dalam Ilmu Tasawuf, menerangkan bahawa sunah Nabi harus dilakukan dengan tarekat.Bukan sekadar dari keterangan Hadith saja malahan harus dilakukan dan dilaksanakan.Sahabat telah melihat Nabi melaksanakanya seperti cara bersolat dan menceritakan kepada murid-muridnya iaitu tabi’in dan menceritakan kepada pengikutnya tabi’in- tabi’in seperti mana yang telah ditulis oleh ahli hadith seperti Ahmad, Bukhari, Muslim, dan lain-lain dan juga kitab-kitab ahli  fekah ulama seperti Imam Hanafi, Imam Malik,Imam Shafie dan sebagainya.

Ilmu Tasawwuf mengatakan bahawa syariat adalah peraturan, tarekat yang merupakan perbuatan untuk melakukan syariat .Apabila syariat dan tarekat dilaksanakan maka lahirlah hakikat untuk memperlihatkan rahsia tujuan iaitu makrifat untuk mengenal Allah dan mencintainya dengan sebenar-benar dan sebaiknya. Contoh maksud tarekat di dalam al-Quran ialah :

Èq©9r&ur (#qßJ»s)tFó$# n?tã Ïps)ƒÌ©Ü9$# Nßg»oYøs)óV{ ¹ä!$¨B $]%yxî ÇÊÏÈ 
 Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.


TUJUAN TAREKAT
Tujuan dan matlamat tarekat adalah untuk membina atau menegakkan kembali keruntuhan dan kerosakkan akhlak manusia yang tidak mengetahui atau memahami tujuan hidup beragama.Islam adalah satu –satunya agama yang diredai Allah  dan Rasulnya , inilah jalan yang hendak dituntut olah setiap manusia .
Apakah tujuan Allah menjadikan alam dan juga makhluknya samada dilautan dan yang menciptakanya, didaratan adakah untuk sesuatu tujuan yang lain atau hanya mengetahui sahaja. Jawapanya ialah, supaya manusia menyedari dan mengetahui siapakah yang menciptakan segalanya ada, iaitu Allah s.w.t samada didunia dan diakhirat.
Seterusnya, ialah untuk mempertebalkan iman para pengikutnya sehingga tidak ada yang lebih indah dan dicintai selain daripada tuhan, dan kecintaan itu dapat melupakan hal keduniaan. Bagi mencapai tahap ini manusia harus ikhlas, bersih segala amalanya dan sentiasa merasa diri selalu diawasi oleh Allah, muhasabah dan sebagainya agar dengan pembentukan peribadi sekian rupa akan diisi dengan perasaan kecintaan kepada tuhan melebihi dirinya dan segala alam yang berada di sekitarnya.

Selain itu, ialah untuk mengetahui bagaimana cara- cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, oleh itu seseorang perlulah mencari jalan untuk menuju kearah kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah. Selepas ia memperolehi petunjuk dan mengetahui kewujudan dan keagungan Allah , barulah ia mempercayai kewujudan Allah. Seseorang hamba yang sentiasa merasa takut kepada Allah. Itulah hamba yang telah diberi petunjuk jalan yang lurus lagi benar oleh Allah.


TAREKAT MENURUT  SUFI
Menurut  istilah ulamak sufi, tarekat boleh diterjemahkan kepada dua perkara yang pertama ialah jalan kepada Allah dengan mengamalkan ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawuf.Manakala yang kedua makna tarekat menurut mereka adalah cara, jalan atau kaifiat mengerjakan sesuatu amalan untuk mencapai sesuatu tujuan

TAREKAT MENURUT  TASAWUF
Pada pandangan tasawuf , tarekat adalah wasilah atau jalan untuk membersihkan jiwa dalam kehidupan bertasawuf yang pasti di lalui oleh setiap mereka yang menjalani hidup sebagai seorang sufi.Tidak mungkin seorang yang mengamalkan tasawuf dan sufi ini tidak melalui tarekat kerana tarekat merupakan perkara asas dalam tasawuf dan sufi

PERKARA YANG PENTING DALAM TAREKAT

1)      Konsep Silsilah
Silsilah sangat penting kerana akan menentukan sama ada tarekat tersebut benar atau tidak. Seseorang yang ingin mengamalkan sesuatu tarekat hendaklah mengetahui dengan sebenarnya nisbah atau hubungan guru-gurunya itu sambung –bersambung antara satu sama lain sampai kepada nabi s.a.w. Garis para mashayikh atau keguruan yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi itulah dinamakan sebagai silsilah. Setiap seorang syeikh yang memimpin sesebuah tarekat hendaklah dengan penuh hati-hati menjaga silsilah yang boleh menunjuk dan membuktikan siapa syeikh dan mashayikh sebelum dia, turun-temurun sampai kepada Rasulullah s.a.w kerana ini boleh menjadi perakuan tentang kesahihan tarekat yang dipimpinnya.
Biasanya ia akan ditulis dengan tersusun dalam Bahasa Arab di atas sehelai kertas kemudian di serahkan kepada murid yang mengamalkan tarekat . Ia diserahkan selepas mereka melakukan latihan dan amal-amal, menerima petunjuk-petunjuk, irsyad dan peringatan-peringatan, talqin, selepas berjanji tidak melakukan maksiat yang dilarang gurunya, dan selepas menerima ijazah. Ia adalah sebagai tanda boleh meneruskan lagi pelajaran tarekat kepada orang lain.
Selain itu, di dalam silsilah ini terdapat konsep al-idhn atau keizinan. Hal ini bermakna bahawa seorang syeikh masa kini hendaklah meminta izin dari syeikhnya terlebih dahulu untuk menyebarkan, mengajar, mentarbiyyah ilmu tarekat kepada orang lain. Dengan konsep inilah terhasilnya silsilah.

2)      Konsep Syeikh
Syeikh atau guru  dalam tarekat  memainkan peranan yang penting dan menggalas tanggungjawab yang sangat besar. Syeikh adalah orang yang akan memantau kehidupan setiap muridnya , agar mereka tidak melakukan perkara-perkara maksiat dan menyimpang dari agama.Syeikh ini merupakan perantara antara murid dengan Tuhan. Syeikh itu adalah seorang yang dirinya begitu mantap dan benar dalam hal-hal keagamaan serta bertanggungjawab menunjuk ajar serta mendidik golongan yang disebut sebagai murid agar perjalanan hatinya untuk bertemu Tuhan akan tercapai. Perbandingan hubungan syeikh dan murid adalah bagaikan hubungan Rasulullah s.a.w –sahabat .Oleh sebab itu syeikh amat penting dalam tarekat.
            Menurut al- Imam al-Ghazali dalam ihya’ ulum al-din menyatakan pandangan beliau mengenai syeikh sebagai berikut :
“ Maka demikianlah seorang murid itu memerlukan seorang syeikh dan guru yang semestinya dia ikuti untuk dia mendapat panduan kea rah jalan yang betul . Sesungguhnya jalan agama itu cukup sukar sekali, sedangkan jalan-jalan syaitan amat banyak pula ; oleh itu barang siapa yang tidak mempunyai syeikh yang menunjukkan arah kepadanya, maka syaitan akan memandu jalannya iaitu jalan syaitan.” 


             Syarat- syarat seorang syeikh adalah seperti berikut:
Pertama, mempunyai ilmu pengetahuan iaitu alim khususnya tentang isi kandungan kitab al-Quran dan al-Sunnah serta ilmu Fiqh dan ilmu Akidah, sehingga syeikh tersebut mampu untuk menyelesaikan segala permasalahan muridnya.
Kedua, mempunyai bakat dari sudut kepimpinan
Ketiga, mengetahui mengenai sifat-sifat kesempurnaan hati , adab sopan, berbagai kerosakan dan penyakit hati yang lain serta cara untuk menyelesaikan, memelihara dan mengseimbangkan hati.
Keempat, mempunyai sifat adil dan takwa.
Kelima ,bersifat zuhud dari kemewahan dunia dan sangat cinta pula kepada kehidupan akhirat.
Keenam , mempunyai hati yang selalu menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, tegas dalam berfikir, mempunyai pendapat dan pandangan sendiri dan tidak mudah untuk ikut orang lain, tidak menyeleweng, mempunyai maruah dan kekuatan akal yang sempurna.
Ketujuh , pernah bergaul dan bersahabat serta berguru dengan syeikh-syeikh kerohanian dalam suatu tempoh yang agak panjang.

 Adab seorang syeikh yang perlu dihayati adalah :
Pertama, ialah tidak boleh mempromosi diri menerusi apa cara sekalipun dengan tujuan untuk mencari pengikut. Di kalangan sufi, seorang syeikh yang bercakap dengan muridnya dalam keadaan hatinya sentiasa memohon hodayah Allah supaya setiap percakapannya adalah perkara-perkara yang benar sahaja.
Kedua, pula ialah sentiasa menguntukkan masa yang khusus untuk melakukan khalwah.Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab tetap melakukan qiyamulail dan berkhalwah.
Ketiga, seorang syeikh hendaklah menyesuaikan dirinya dengan sanggup turun ke tahap hal para muridnya dengan cara berlembut dan cara yang boleh menyenangkan mereka.Syeikh tidak boleh menunjukkkan kehebatan dan kemuliaan dirinya sahaja serta menyusahkan muridnya hingga mereka tidak boleh melaksanakan perkara tersebut.
Keempat, ialah membersihkan dirinya daripada harta benda muridnya. Tidak mengambil sumbangan yang diberikan oleh muridnya. Namun, jika diberi oleh muridnya hendaklah ia menganggapnya sebagai satu sedekah yang disumbangkan kerana Allah.
Kelima , seorang syeikh hendaklah merahsiakan apa jua bentuk keaiban muridnya. Jika terdapat sesuatu perkara yang tidak betul dilakukan oleh muridnya , ia tidak boleh terus menuding terus kea rah murid tersebut tetapi, membincangkan perkara tersebut secara umum, sambil merahsiakan keaiban itu. Perkara ini memberi manfaat bukan pada murid tersebut bahkan pada murid yang lain juga.

HUBUNGAN ANTARA SYEIKH DAN MURID
Komponen seterusnya yang perlu ada dalam institusi tarekat adalah murid. Walaupun komponen murid ini tentunya tidaklah sepenting syeikh dalam institusi tarekat, namun tanpa murid syeikh tidak akan dapat menjadi syeikh. Seseorang murid mesti menyerahkan seluruh kehendak dan kepercayaan kepada syeikh dengan itu dia mesti mentaati semua perintah syeikh secara mutlak. Dan dalam konteks inilah, secara lebih khusus istilah murid merujuk kepada seseorang yang menceburkan diri dalam sesebuah tarekat tertentu dan diperakui oleh syeikh tentang kebenaran kehendak dan azamnya untuk mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.
Syarat-syarat yang perlu ada dalam diri seseorang murid dalam menceburkan diri dalam institusi tarekat ialah:
1-      Seseorang murid mestilah membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela seperti hasad dengki, engkar, penipu, sombong dan buruk sangka.

2-      Mesti menerima ijazah tarekat yang sebenar dan bersungguh-sungguh mengamalkanya. Seseorang murid mesti menjauhkan diri daripada masyarakat ramai yang boleh melalaikan ingatannya kepada Allah dan menyebabkan  berlakunya perkara dosa.


3-      Kuat azam dan mematuhi segala perintah Allah serta perintah syeikh. Hati murid mestilah sentiasa sibuk dengan rasa cinta terhadap syeikh sebagai seorang hamba Allah yang sejati.

4-      Seseorang murid mestilah berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuan .

Demekianlah di antara syarat yang perlu dimiliki oleh seseorang murid dalam institusi tarekat ini  bagi memudahkan para murid memenuhi segala tuntutan dan kehendak - kehendak dalam kehidupan bertarekat. Maka itu, setiap murid perlu menghayati syarat-syarat ini agar segala kewajiban bertarekat dapat ditunaikan dengan baik dan sempurna.

ADAB SEORANG MURID KEPADA SYEIKH
Seterusnya, kita dapati para sufi banyak sekali membicarakan tentang adab-adab yang mesti dihayati setepatnya bagi seseorang murid. Institusi tarekat ini menganggap bahawa aspek adab murid terhadap syeikh ini adalah satu aspek penting bagi menjamin kejayaan seseorang murid dalam kehidupan bertarekat.
Adab - adab yang perlu dimiliki oleh seorang murid dalam hubunganya dengan seorang syeikh dalam institusi tarekat ini adalah:
1-      Seorang murid harus memberi kepercayaan serta keyakinan penuh dan mutlak pada syeikh nya. Dia mestilah merasa puas secara sepenuhnya tanpa sebarang soal dan ungkitan bahawa syeikhnya seorang yang paling berupaya membimbing serta mendidiknya.

2-      Seseorang murid sewajarnya tidak bercakap dengan suara yang lantang mengatasi suara syeikh, tidak dibenarkan murid banyak ketawa dan bercakap melainkan apabila diberi peluang oleh syeikh.


3-      Seseorang murid tidak boleh meminta-minta lebih banyak daripada apa yang diberikan oleh syeikh.

4-      Seseorang murid tidak boleh mencari-cari atau membuat tafsiran secara sendiri tanpa merujuk kepada syeikh mengenai pelbagai kejadian , mimpi dan sebagainya.
Justeui itu, adab-adab ini perlu diamalkan dan dihayati oleh seseorang murid dalam menjaga hubungan diri dengan seorang syeikh dalam menjamin kejayaan seseorang murid dalam kehidupan bertarekat ini. Elemen ini sangat penting dalam menjamin keberkesanan hubungan baik antara  seorang murid dan guru.

TAREKAT YANG BENAR

Tarekat Naqsyabandiah
 Antara contoh tarekat yang benar adalah tarekat Naqsyabandiah. Tarekat Naqsyabandiah ini merupakan tarekat sufi yang paling popular dan paling luas di Asia Muslim serta Turki , Bosnia-Herzegovina , dan wilayah Volga Ural . Bermula di Bukhara, pada akhir abad ke-14, Naqsyabandiah mula tersebar di daerah- daerah negara muslim dalam masa seratus tahun.
            Menurut Syeikh Najmuddin Amin Al- Kurdi dalam kitabnya “ Tanwirul Qulub” perkataan Naqsyabandiah berasal dari dua buah kata bahasa Arab “ naqsy” dan “ band” .Naqsy bermaksud ukiran atau cap yang diletak pada sebatang lilin.Manakala band bermaksud bendera atau layar besar. Ia dinamakan Naqsyabandiah kerana Syeikh Bahauddin yang merupakan pengasas tarekat ini, sentiasa berzikir mengingati Allah sehingga lafaz Allah itu terpahat kukuh dalam hatinya.

Pengasas Tarekat Naqsyabandiah
Tarekat ini didirikan oleh Syekh Bahaudin Syah Naqsyabandiah .Beliau adalah seorang pemuka Tasawuf yang terkenal .Beliau dilahirkan pada tahun 717H, di sebuah desa bernama Qashrul’Arifan, kurang lebih 4 mil dari Bukhara,Sovyet,Rusia iaitu tempat lahirnya Imam Bukhari .Syekh Bahaudin ini mengambil tarekat dari Syekh Muhammad Baba As-Samasi, kemudian mengambil pula dari Sayid Amir Kulal. Pengikut Beliau terbanyak di Sumatera Utara, Riau, Jawa, Madura, Malaysia, dan Thailand.

Silsilah Tarekat Naqsyabandiah
Tarekat Naqsyabandiah ini sampai kepada Rasulullah s.a.w. Silsilahnya seperti berikut:
1.      Muhammad Amin Al-Kurdi. Ia mengambil dari
2.      Umar. Ia mengambil dari ayahnya
3.      Syeikh Usman. Ia mengambil dari
4.      Syeikh Khalid Usmani, keturunannya sampai kepada Uthman bin Affan.Ia mengambil dari
5.      Syeikh Abdullah Dahlawi Al-‘Alawi, keturunannya sampai kepada Ali Bin Abi Talib. Ia mengambil dari
6.      Syeikh Syamsuddin Habibullah Jan Jaanani Musyar Al-‘Alawi. Ia mengambil dari
7.      Syeikh Nur Muhammad Al-Badawani. Ia mengambil dari
8.      Syeikh Muhammad Saifuddin. Ia mengambil dari ayahnya
9.      Syeikh Muhammad Maksum. Ia mengambil dari ayahnya
10.  Syeikh Ahmad Al-Faruqi As-Sarhindi, keturunannya sampai kepada Khalifah Umar bin Khattab. Ia mengambil dari
11.  Syeikh Muhammad Al-Baqi. Ia mengambil dari
12.  Syeikh Muhammad Al- Khawajaki As- Samarqandi . Ia mengambil dari ayahnya
13.  Syeikh Darwisy Muhammad As- Samarqandi. Ia mengambil dari pak ciknya
14.  Syeikh Muhammad Zahid. Ia mengambil dari
15.  Syeikh Mashiruddin ‘Ubaidullah Al- Ahrar As- Samarqandi bin Mahmud Syihabuddin. Ia mengambil dari
16.  Syeikh Ya’kub Al-Jarakhi. Ia mengambil dari
17.  Syeikh Muhammad ‘Ala-uddin al-‘Aththar Al- Bukhari Al-Khawarizmi. Ia mengambil dari
18.  Syeikh Bahauddin Muhammad bin Muhammad As-Syariful Husaini A-Hasani Al-Uwaisi Al- Bukhari . Ia mengambil dari
19.  Syeikh Sayid Amir Kulal bin Sayid Hamzah. Ia mengambil dari
20.  Syeikh Muhammad Baba As-Samasi. Ia mengambil dari
21.  Syeikh ‘Ali Ar-Ramitni, terkenal dengan Al-‘Azizan. Ia mengambil dari
22.  Syeikh Mahmud Al-Anjari Faghnawi. Ia mengambil dari
23.  Syeikh ‘Arif Ar-Riyukuri. Iamengambil dari
24.  Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghajduwani bin Al-Imam Abdul Jamil keturunannya sampai kepada Malik bin Anas. Ia mengambil dari
25.  Syeikh Abu Ya’kub Al-Hamdani bin Aiyub bin Yusuf  bin Al-Husain. Ia mengambil dari
26.  Syeikh Abu ‘Ali Al-Fadlal bin Muhammad Ath-Thusi Al-Farmadi. Ia mengambil dari
27.  Syeikh Abu Hasan ‘Ali bin Abu Ja’far Al-Kharqani. Ia mengambil dari
28.  Syeikh Abu Yazid Thiafir bin ‘Isa bin Adam bin Sarusyan Al- Busthami. Ia mengambil dari
29.  Syeikh Al- Imam Ja’far Shadiq, cucu dari Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar Shiddiq. Ia mengambil dari neneknya
30.  Syeikh Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar Shiddiq. Ia mengambil dari
31.  Syeikh Salman Al- Farisi. Ia mengambil dari
32.  Abu Bakar Shiddiq. Ia mengambil dari
33.  Nabi Muhammad s.a.w.

Amalan Zikir
Tarekat Naqsyabandiah mengajar zikir yang sederhana dan lebih mengutamakan zikir qalbi dan zikir mulut. Zikirnya pula ialah zikir naïf ithbat iaitu la ilaha illah, iaitu zikir umum yang dipakai oleh umat Islam. Ajaran Naqsyabandiah ini tidak terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, pengikut tarekat ini diwajibkan melakukan suluk.   Terdapat dua sisitem iaitu yang pertama, pengikut hanya mengambil tarekat. Dan yang kedua adalah mengambil tarekat dan mengamalkan suluk. Suluk ialah masa untuk melakukan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah di dalam sebuah rumah. Masanya adalah 20 hari atau 40 hari. Amalan ini di lakukan selepas menunaikan solat asar dan melakukan khatam. Persulukan akan diketuai oleh seorang pemimpin. Jika lelaki ia di kenali sebagai khalifah, jika perempuan dikenali sebagai tahlil.

Suluk terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:
1)      Tingkat Mubtadi
Ini merupakan permulaan suluk iaitu dengan pengamalan zikir tahap rendah.
           
2)      Tingkat Tahlil
Seseorang boleh dinaikkan ke tingkat ini bergantung kepada perkhabaran. Mereka dikehendaki agar membayar hutang tahlil dengan membaca kalimat “ la ilaha ilallah” sebanyak 210,000 kali

3)      Tingkat Khalifah
Seseorang boleh mencapai ke tingkat khalifah setelah dinilai perkhabarannya oleh mursyid. Jika sudah sampai tahap ini, maka berakhirlah suluk dan dibolehkan makan makanan berdarah seperti daging dan ikan, dibenarkan meninggalkan rumah suluk dan bercampur dengan isteri.

Amalan zikir tarekat Naqsyabandiah
            Amalan dalam tarekat Naqsyabandiah adalah zikir. Ia merupakan pokok ataupun asas dalam tarekat. Setiap tingkatan mempunyai zikir yang berlainan dan bertujuan untuk membersihkan jiwa sehingga mencapai tahap yang tinggi. Untuk melaksanakan zikir ini terdapat beberapa kaifiat atau cara iaitu :
Yang pertama adalah menghimpunkan segala pengenalan dalam hati.
Yang kedua, menghadapkan diri hanya kepada Allah.
Yang ketiga, membaca istighfar sekurang-kurangnya sebanyak 3 kali.
Yang keempat, membaca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.
Yang kelima, menghadirkan roh Syeikh Tarekat Naqsyabandiah.
Yang keenam, menghadiahkan pahala bacaan kepada Syeikh Tarekat Naqsyabandiah.
Yang ketujuh, memandang rabithah, iaitu menghadirkan rupa guru atau Syeikh ketika hemdak berzikir.
Yang kelapan, mematikan diri sebelum mati
Yang kesembilan ialah munajat dengan berucap “ Ilahi anta maqshudi wa ridhoka mathlubi ”

 TAREKAT YANG SESAT
Tarekat Naqsyabandiah
1-   Nur Muhammad dan Nur Allah bersatu, Nur Muhammad negatif  manakala Nur Allah adalah positif. Nur Allah dan Nur Muhammad disalurkan kepada Nabi Adam. Dengan itu diperintahkan malaikat supaya sujud kepada nabi Adam kerana terdapat padanya Nur Muhammad dan Nur Allah.
2-   Allah menyuruh manusia menyembah Kaabah kerana didalam Kaabah telah disalurkan nur Alllah dan nur Muhammad.
3-   Jika sesorang itu ingat kepada guru tersebut maka dengan sendirinya ia mengingati       Allah. Orang yang masa dahulunya tidak khusuk ketika solat setelah mengikut tarekat  ini akan memperolehi khusyuk.
4-   Roh orang-orang yang bermunajat kepada Allah akan menembusi beberapa dimensi alam, seperti Alam Jabarut,  Alam Malaikat, Alam Rohani dan Alam Rabbani.
 5- Tarekat ini pada mulanya dinamakan “Tarekat Sirr” atau tarekat rahsia iaitu Tarekat yang mendapat kekuatan dari rahsia  nur Allah dan nur Muhammad.Kekuatan ini didapati melalui perdampingan diri dengan Allah.
Tarekat Khalid
1-      Mendakwa kalimah “لا اله الا الله”  bermaksud telah menemui Allah dan sampai kepada alam ghaib dan luh mahfuz dan melihat syurga dan neraka melalui alam suluk dalam tariqatnya.
2-      Berdasarkan kepada dakwaan itu maka telah menerima darjat kemuliaan yang membolehkannya mencipta tariqat. Tariqat yang dicipta adalah tariqat Khalid.
3-      Berdasarkan dari dakwaan tersebut  juga menganggap mursyid adalah lebih tinggi dari rasul-rasul . Oleh kerana mursyid menjadi perantaraan dari Allah.
4-      Sebagai sifatnya mursyid yang lebih tinggi daripada rasul maka mursyid ( Kiyai Haji Talib Bin Khalid) berhak memansuhkan hukum syariat dan kitab al-Quran.
Jika dilihat dari konsep tarekat dalam Islam tarekat Khalid  tidak layak sama sekali menamakan dirinya sebagai tariqat tasawuf , tetapi hanyalah diberi gelaran sebagai tarekat yang sesat. Tarekat Khalid merupakan salah satu contoh daripada penyelewengan dalam tarekat yang menyesatkan orang ramai, yang berpunca daripada kejahilan tentang hakikat Islam dalam bidang akidah, akhlak dan syariat dan ketiadaan syarat yang sah yang sewajibnya ada pada seorang syeikh.

ANTARA TAREKAT LAIN YANG DIAKUI
Gerakan tarekat muncul dalam dunia Islam pada abad ketujuh masihi, sebagai lanjutan kegiatan kaum sufi terdahulu. Setiap tarekat mempunyai syeikh, murid, silsilah, dan amalan-amalan tertentu seperti zikir, dan sebagainya. Biasanya Syeikh atau Murshid mengajar murid-muridnya diasrama yang dinamakan “Rumah Suluk ” atau “Ribath”.Tarekat mula muncul di Asia Tengah , kemudian berkembang ke Baghdad, Iraq, Turki, Arab Saudi, dan sampai ke Indonesia, Malaysia, Thailand dan India.
Menurut jumhur ulama pada abad ini terdapaat 41 jenis tarekat  yang diakui kebenaranya dan masih berkembang di seluruh pelusuk dunia Islam sehingga sekarang.Antaranya ialah:
1-      Tarekat Qadiriyah
2-      Tarekat Cistiyah
3-      Tarekat Syazaliah
4-      Tarekat Rifaiyah
5-      Tarekat Ahmadiyah
6-      Tarekat Maulawiyah
7-      Tarekat Sanusiyah
8-      Tarekat Hadadiyyah
9-      Tarekat Syattariah
Tarekat Qadariyah
            Pengasas tarekat ini adalah Syeikh Muhyidin Abu Muhammad Abdul Qodir Jaelani al-Baghdadi, seorang ulama yang zahid, pengikut mazhab Hanbali, tekun mempelajari hadith dan sastera. Pada tahun 528 H beliau mengajar dan berfatwa di Baghdad.Wafat di Baghdad pada tahun 561 h (1168M) dan mempunyai sebuah sekolah untuk melakukan suluk dan latihan kesufian di Baghdad. Sebagaimana tarekat lain, Qadariyah juga memiliki dan mengamalkan zikir dan wirid tertentu. Tarekat Qadariyiah berkembang dan berpusat di Iraq dan Syiria kemudian diikuti oleh jutaan muslim yang tersebar di Yaman, Turki, Mesir, India, Afrika dan Asia.
Tarekat Rifa’iyah
            Pengasas tarekat ini adalah Syekh Ahmad bin Abu al-Hassan ar-Rifa’i, wafat pada tahun 507 H (1174M). Cara pelaksanaan zikir dilakukan bersama-sama diiringi oleh suara gendang yang bertalu-talu. Zikir tersebut dilakukan sampai mencapai tahap keadaan dimana mereka dapat melakukan perbuatan yang menakjubkan antaranya berguling-guling dalam bara api, namun tidak terbakar. Penganutnya di daerah Maroko dan al-Jazair.
Tarekat Samaniyyah
            Kemunculan tarekat ini adalah bermula dari kegiatan Syeikh Muhammad Saman, seorang guru yang masyhur yang mengajar tarekat di Madinah. Banyak orang Indonesia terutama di Acheh yang pergi kesana mengikuti pengajaranya. Jadi tidak hairanlah tarekat terbesar di Acheh adalah tarekat Sammaniyah. Tarekat Sammaniyah juga mengamalkan bacaan zikir yang biasa dilakukan secara berjemaah pada malam jumaat di masjid atau surau sampai lewat malam.


FAKTOR-FAKTOR MEMBAWA  AJARAN TAREKAT DAN TASAWUF  KEPADA  PENYELEWENGAN.

Terdapat  banyak faktor yang membawa  ajaran tarekat ke arah penyelewengan. Disini  dinyatakan beberapa faktor  yang paling banyak mempengaruhi golongan tarekat yang tidak berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah faktor inilah yang menyebabkan mereka terpesong dari  ajaran yang sebenar antara faktor  yang menyebabkan penyelewengan antaranya ialah;

 1- Sikap tidak bertanggungjawab mengenai fakta menurut Islam.
Ini adalah satu perkara  yang sukar untuk dibersihkan bagi golongan tarekat mereka tidak mementingkan ketulenan fakta yang disandar kepada nabi atau mana- mana imam oleh itu, sebahagian buku-buku atau penceramah kesufian mudah sekali menyatakan sesuatu perkara  tanpa dipastikan kesahihannya.Selain itu juga, mereka mudah sekali menyandarkan sesuatu hadith  tanpa memastikan kesabitan nya terlebih dahulu. Bahkan dalam sejarah hadith, golongan sufi adalah antara penyumbang  utama dalam pemalsuan hadith.

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah(w.643H)menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu,yang paling bahaya  adalah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Oleh itu, ramai orang yang menerima pendustaan tersebut  atas kepercayan  dan kecenderungan kepada mereka. Oleh itu, bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan  pemalsuan ini disamping mengatasinya.
                 Sebagai contoh,mereka mengajar  kepada pengikut  mereka doa nabi Adam a.s, doa nabi Nuh a.s  dan para nabi yang lain tanpa sebarang bukti bahawa doa-doa itu berasal dari mereka. Mereka ini berdusta dan mengambil maklumat dari yang dusta dalam menyokong hawa nafsu mareka. Sebaliknya mereka kurang berpegang kepada apa yang sahih yang diriwayatkan oleh ahli hadith yang lebih adil dan benar.
                 Kesimpulan dari pada faktor ini, kita dapati dalam kebanyakan ajaran sufi dan tarikat hadith hadith yang dhabit dijadikan pegangan dan ceruta atau ucapan para ulama yang disandarkan secara bohong dijadikan hujah. Oleh itu, kita mudah mempercayai  apa yang disandarkan oleh sebahagian golongan tarikat terhadap imam-imam tertentu.
2- Melampau dalam memuliakan guru atau Syeikh.
Inilah penyakit paling serius yang melanda kepada pemikiran pengikut-pengikut tarekat. Mereka memuliakan guru mereka lebih daripada kadar yang sepatutnya. Fenomena ini menimpa hampir kesemua aliran tarekat. Dengan itu lahirnya falsafah mereka yang masyhur iaitu:”Jadikan diri kamu di hadapan syeikh bagaikan mayat di hadapan orang yang mandikannya”. Melampau  terhadap syeikh ini telah menyebabkan mereka mempercayai beberapa perkara iaitu;
i) Beriktikad  guru tarekat adalah maksum dan menghalal apa yang haram untuk dilakukan oleh syeikh mereka.
Walaupun perkara ini tidak disebutkan secara terang, tetapi kenyataan-kenyataan mereka menunjukkan iktikad ini bagi mereka guru-guru mereka melebihi Abu Bakr, Umar dan sahabat lain ini kerana guru mereka tidak boleh dibantah sama sekali. Sedangkan sejarah membuktikan tindakan para sahabat juga dipersoal oleh sebahagian yang lain. Imam-imam mazhab tidak membenarkan kita mengikut mereka melainkan memahami dalil. Rasululluah s.a.w sendiri dalam hayatnya, para sahabat meminta penjelasan terhadap tindakan-tindakan baginda.
Kata Syeikh al-Islam; “Sesiapa yang melebihkan seorang syeikh daripada Nabi s.a.w. ,atau beriktikad bahawa seseorang itu tidak perlu taat kepada Rasululluh s.a.w. diminta agar bertaubat, jika dia tidak bertaubat, dipancung kepalanya”.

ii) Meletakkan kedudukan syeikh sama dengan Nabi atau lebih daripada baginda.
Umpamanya dalam tarikat Naqsyabandiyyah disebut;”Murid harus menghormati syeikhnya zahir dan batin. Dia harus yakin bahawa maksudnya tidak akan tercapai melainkan di tangan syeikh. Apabila pandangannya cenderung kepada syeikh lain, nescaya tertutuplah limpahan syeikh kepadanya dan tidak akan memperolehi sesuatu daripadanya. Pegangan ini menafikan bahawa jalan hidayah ialah al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini kerana dia menetapkan maksud kerohanian hanya mampu ditunaikan oleh syeikhnya sahaja. Apakah sekiranya syeikh lain yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah juga tidak dapat menjelaskan dan membawanya kepada kerohanian islam?. Atau sebenarnya jalan yang dituju bukanlah jalan Alla s.w.t dan rasulNya, sebaliknya jalan syeikh atau agama syiekh yang tersendiri.  Meletakkan syeikh setaraf dengan Nabi s.a.w. dimana seseorang tidak  akan mencapai petunjuk melainkan hanya berpegang kepada hidayah baginda.

iii) Meletakkan nilaian syeikh setanding dengan Allah s.w.t.
Dapat dilihat ,dalam tarekat Naqsyabandiyyah disebut meninggalkan ikhtiar diri dan menyatukan ke dalam ikhtiar syeikh dalam segala urusan, baik ibadat mahupun adat kebiasaan. Salah satu tanda murid yang benar adalah kalau syeikh menyatakan kepadanya; “Masuklah ke dalam api yang menyala” maka ia akan memasukinya .Generalisasinya, bagi mereka, urusan dunia dan akhirat bergantung kepada keberkatan syeikh. Sedangkan orang mukmin hanya patut bergantung segala keberkatan kepada Allah s.w.t. Kata tarekat Naqsyabandiyyah “Dia (murid) memandang semua keberkatan yang diperolehinya samada dunia mahupun akhirat adalah keberkatan dari syeikhnya.

Oleh itu,ajaran tarekat telah muncul sejak zaman para nabi sehingga sekarang, tarekat boleh dipelajari kerana ia mempunyai pelbagai tujuan tertentu dan tarekat merupakan jalan  untuk mendekatkan diri kepada Allah dan untuk mempertebalkan iman seorang mukmin. Namun, pada masa kini, umat Islam hendaklah berhati-hati dalam memilih tarekat kerana terdapat banyak tarekat yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar dan menyebabkan tarekat itu salah untuk dipelajari dan diamalkan oleh seseorang mukmin.

 Sumber Rujukan :

Al-Quran Al-Karim

H.A.Fuad Said.1996.Hakikat Tarikat Naqsyabandiah.PT.Al Husna Zirka,Jakarta

Mohd Sulaiman Bin Hj.Yasin. 1997.Mengenal ilmu tasawuf. Darul Fikir ,Batu Caves Kuala Lumpur
Prof.Dr.H.Aboebakar Atjeh. 1980.Pengantar Ilmu Tarekat dan Tawasuf. Pustaka Aman Press Sdn.Bhd:Kelantan

Zakaria Stapa dan Mohamed Asim Dollah.Islam Akidah Dan Kerohanian.Universiti Kebangsaan Malaysia:Bangi


Ensiklopedia islam.malaysian ensiklopedia research center berhad:kuala lumpur

Drs . Achmad Suyuti.Percikan Kesufian.2003.Thinker’s Library Sdn.Bhd:Selangor

Syeikh Anwar (Assadullah). 1983 .Tarekat al-Haq.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin. 2004 .Menilai kesufian dan syariat Allah.Bestarin Sdn Bhd: Shah Alam